Bismillahirrahmanirrahim..
Jack 'o Lantern @ WalmartMalam itu sejuk sampai ke tulang. Aku dan Baihaqi berjalan berdua menuju rumah selepas selesai makan di Which Wich. Washington Street sesak dengan orang ramai di kiri kanan jalan. Bising.
Sedang kami menapak, aku terperasan seseorang dengan kostum halloween-nya mengangkat tangan seolah-olah memberi isyarat '
gimme five'. Dan kami hanya memandang tanpa memberi respon.
"
What the f**k!!" Dia mencarut. Bengang barangkali kerana isyarat tidak disahut. Aku dan Baihaqi hanya tergelak. "Gila," aku menyumpah kembali di dalam hati.
Sepanjang jalan bermacam jenis kostum aku dapat lihat. Aku rasa, jika ada pertandingan 'Jalan Berhias Paling Cantik' mungkin Washington St. boleh tercalon. Ada yang berpakaian lagak Sheriff, Super Women, Batman, dan paling pelik dan melucukan, kostum Telur Mata Kerbau; tengah berwarna kuning dan sekelilingnya berwarna putih. Ada juga yang memakai kotak sebagai baju. Mungkin ada masalah kewangan agaknya. Tak lupa juga yang memakai kostum gorilla dan berjalan menggunakan tangan untuk meniru gaya gorilla. Aku rasa inilah kostum yang paling menyeksakan.
kostum banduan lego
Tetapi yang 'menghairankan', dalam cuaca yang sejuk
(sampai aku menggigil), boleh pula minah-minah saleh di sini berpakaian 'sebegitu'
(faham-faham sendiri). Semuanya kerana satu malam yang bernama Halloween.
"Gimme a moo, gimme a moo," kata seorang lagi ketika kami hampir tiba di rumah. Dia memakai kostum lembu. "Haih.. macam-macam.. "
****
membazir je, buat masak lemak lagi bagus
Masih malam yang sama. Malam Halloween yang kononnya hantu-hantu berkeliaran sebelum dihalau pada keesokan harinya. Halau ke mana, aku tidak tahu. Dan aku tak berminat untuk ambil tahu.
Aku sedang duduk-duduk menghadap laptop di dalam bilik sebelum aku terdengar bunyi riuh-rendah di luar. Aku amati suara-suara yang aku dengar. American accents. Tapi siapa?
Aku pusing tombol pintu bilik perlahan-lahan dan jenguk ke luar. Memang betul. Ada 4 orang perempuan di ruang tamu dan seorang lelaki dengan kostum Sheriff di dapur. Aku sangkakan mereka kawan Shazmin. Tapi sangkaan aku meleset.
Mulanya, salah seorang daripada mereka ingin menumpang tandas di rumah kami. Maka untuk mengurangkan 'bahaya', Shazmin mencadangkan beberapa orang lagi untuk ikut sekali. Sudahnya, kesemua mereka ikut menumpang di rumah kami sementara menunggu rakan-rakan mereka yang lain tiba. Tambahan pula cuaca di luar sangat sejuk.
Sebagai tuan rumah, aku cuba menegur dan berbual-bual dengan mereka. Dan seperti yang aku jangka, salah seorang daripada mereka (perempuan) menghulurkan tangan untuk bersalaman.
"Sorry but I can't touch women because it's prohibited in my religion. I hope you don't misunderstand." Cepat-cepat aku tuturkan skrip yang aku hafal sambil menangkup tangan ke dada. Dalam sejenak aku teringatkan Fahri dalam Ayat-Ayat Cinta. (opss..)
Malangnya aku tertinggal beberapa poin penting. Aku terlupa nyatakan pengecualian dalam perempuan yang aku tidak boleh sentuh dan sepatutnya aku nyatakan agama aku secara spesifik, yakni Islam.
Aduh, nampaknya situasi kedua masih suatu kegagalan untuk aku. Aku masih ingat situasi yang lebih kurang sama berlaku ketika hari kedua aku sampai di sini (Iowa City). Ketika itu sedang sibuk menguruskan urusan pendaftaran. Sekejap ke hulu, sekejap ke hilir. Dan ketika bertemu dengan seorang wanita (lupa untuk urusan apa), beliau menghulurkan tangan untuk bersalaman. Saat itu aku kaget dan menggelabah sesaat. Tanpa disengajakan aku terus menghulurkan tangan. Alhamdulillah, aku sempat menarik tanganku kembali di saat-saat akhir dan meminta maaf. Khilaf aku kerana tidak menanamkan respon yang sesuai di dalam minda.
Aku berharap jika situasi yang sama berulang untuk kali ketiga, keempat dan seterusnya, aku akan dapat memberi respon yang paling sesuai.
Ini baru cuma satu fitnah aku hadapi di bumi asing ini. Tak mustahil fitnah-fitnah yang lain akan datang menyerang pada masa hadapan. Mungkin minggu depan, mungkin bulan depan. Atau mungkin juga ketika kelas Astronomy pada esok hari.
Bila ia datang tidak penting, yang paling penting adalah respon terhadap fitnah tersebut. Respon yang baik, dengan izin ALLAH, dapat memberi kefahaman terhadap Islam dan respon yang kurang tepat mungkin akan menambahkan lagi fitnah terhadap Islam itu sendiri.
Na'udzubillah..
p/s: “Barangsiapa yang menyerupakan dirinya dengan satu-satu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada kaum tersebut” [Hadith daripada Ibn Umar radhiyallaahu 'anhuma, dikeluarkan oleh Abu Dawood dan disahihkan oleh Ibn Hibban]
[click to continue..]